Print

PRINSIP U.M.I. DALAM AMALAN BERORGANISASI

Written by SUA MPP USIM. Posted in Info

Share

Setiap kamu adalah pemimpin

Prinsip [UMI] Ubudiyyah, Mas’uliyyah dan Itqan Dalam Kerja

 

Pendahuluan:

 

Salah satu tanggung jawab umat Islam terhadap Islam ialah beramal sepenuhnya dengan agama yang mereka anuti, mendaulatkannya dengan meletakkan agama tersebut di tempat yang paling tinggi dan menjadikannya sebagai cara hidup sebagai menyahut perintah Allah swt dan gesaan Nabi saw. Sesuai dengan panggilan terhadap mereka sebagai ‘muslim’ dengan maksud orang yang menyerah diri kepada Allah, sewajarnyalah tidak ada ruang bagi mereka membelakangi Islam apatah lagi mengambil cara hidup asing yang tidak ada kena mengena dengan mereka.

Di dalam surah al-Baqarah ayat 208 Allah swt berfirman:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُبِينٌ } [البقرة: 208]

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhannya dan jangan kamu ikut langkah-langkah syaitan,sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.”

Di dalam surah al-Ahzab 36 pula Allah berfirman:

{وَمَا كَانَ لِمُؤْمِنٍ وَلا مُؤْمِنَةٍ إِذَا قَضَى اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَمْرًا أَنْ يَكُونَ لَهُمُ الْخِيَرَةُ مِنْ أَمْرِهِمْ وَمَنْ يَعْصِ اللهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ ضَلَّ ضَلالا مُبِينًا } [الأحزاب: (36)]

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang beriman dan perempuan yang beriman apabila Allah dan rasulNya telah menetapkan sesuatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan yang lain tentang urusan mereka. Dan barang siapa yang mendurhakai Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya, dia telah sesat, sesat yang nyata.”

Pengamalan Islam bukan sahaja terhad dalam soal ibadat khusus seperti solat, puasa, zakat dan haji, soal kekeluargaan meliputi nikah kahwin, nafkah, talaq dan sebagainya tetapi meliputi seluruh aspek kehidupan baik soal hubungan dengan Allah, hubungan sesama manusia, hubungan dengan alam dan haiwan , urusan dunia dan akhirat, kegiatan zahir dan batin, soal politik, ekonomi, sosial; pembangunan, keselamatan, pendidikan, hubungan antara bangsa, urusan fardiy (peribadi) atau jama’iy (masyaraka) dan lain lain. Dalam soal kerja atau profession, Islam telah mengatur pelbagai perkara yang berkaitan seperti soal konsep, kaedah, method, matlamat termasuk soal prinsip.

 

Tiga Prinsip Islam:

 

Terdapat tiga prinsip dalam Islam berhubung dengan kerja yang seharusnya difahami dan diamalkan oleh setiap orang Islam dalam rangka melaksanakan amanah yang terbeban di atas bahu mereka iaitu prinsip ubudiyyah, prinsip mas’uliyyah dan prinsip itqan.

Pertama: Prinsip Ubudiyyah (Pengabdian terhadap Allah)

 

Ubudiyyah dalam kerja bermaksud bekerja semata-mata kerana Allah dengan meletakkan setiap kerja yang dilakukan sebagai ibadah yang akan memperolehi ganjaran pahala di akhirat ’Bekerja’ akan mencapai tahap ibadah apabila dapat memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syarak.

Syarat pertama- Niat yang ikhlas

 

Niat yang ikhlas di dalam kerja adalah syarat paling utama yang menjadi roh kepada amal untuk dikira sebagai ibadah. Niat dalam bekerja hanya kerana Allah, bekerja bukan kerana yang lain, bukan kerana pangkat, gelaran, pujian, sanjungan atau kepentingan peribadi dan sebagainya melainkan hanya keranaNya semata-mata dengan harapan untuk mendapat keredaanNya, itulah yang dikatakan niat yang ikhlas.

وَمَا أُمِرُوا إِلا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاءَ وَيُقِيمُوا الصَّلاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ (5

{Padahal mereka tidak disuruh kecuali supaya menyembah Allah dengan ikhlas kepadaNya dalam (menjalankan) agama dengan lurus dan supaya mereka mendirikan solat dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.} [Al-Bayyinah: 5]

Allah swt berfirman:

إِنَّكُمْ لَذَائِقُو الْعَذَابِ الأَلِيمِ (38) وَمَا تُجْزَوْنَ إِلا مَا كُنْتُمْ تَعْمَلُونَ (39) إِلا عِبَادَ اللَّهِ الْمُخْلَصِينَ .(40) أُولَئِكَ لَهُمْ رِزْقٌ مَعْلُومٌ (41) فَوَاكِهُ وَهُمْ مُكْرَمُونَ (42)

Maksudnya: {Sesungghunya kamu pasti merasakan azab yang pedih. Dan kamu tidak diberi pembalasan melainkan terhadap kejahatan yang telah kamu kerjakan. Kecuali hamba-hamba Allah yang ikhlas. Mereka itu memperolehi rezeki yang tertentu. Iaitu buah-buahan dan mereka adalah orang yang dimuliakan.} [Al-Saffat:38-42].

Ikhlas’ adalah suatu persoalan urusan hati yang sangat sukar dicapai, hanya kita mengharapkan rahmat dan kasih sayang Allah agar amal dan kerja dengan kekurangan dan kelemahan yang ada diterima Allah dan tidak menjadi kerja yang sia-sia.

Syarat kedua; pekerjaan yang dilakukan tidak melanggar atau bercanggah dengan hukum syarak; maksudnya bentuk, rupa atau nature kerja itu halal di sisi Allah. Sebarang kerja yang haram sekali pun niat orang yang melakukannya baik tidak layak dikatakan bekerja kerana Allah dan bukan suatu bentuk ubudiyyah kepadaNya.

 

Syarat ketiga: iaitu perlaksanaan kerja hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip syariat dan akhlak Islam seperti amanah, adil, bertanggung jawab dan sebagainya dan menepati kaedah atau cara yang ditentukan oleh syarak contohnya kerja dimulakan dengan bismillah atau doa dan lain-lain

 

Syarat keempat; amalan atau kerja hendaklah dilakukan seelok-eloknya dan sebaik mungkin.(Syarat ini akan dijelaskan di bawah tajuk itqan)

 

Syarat kelima; bekerja jangan sampai mengganggu atau melalaikan ibadah pokok seperti solat, puasa dan sebagainya.

Zahir dan batin manusia tidak boleh dipisahkan. Perlakuan zahir adalah buah atau kesan dari dalaman atau batin. Bagi memperbaiki amal, ia perlu dimulakan dengan memperbaiki dalaman atau jiwa dengan memupuk keimanan dan ketaqwaan dan menyuburkan dan membersihkan jiwa dengan ibadah; wajib dan sunat. Iman dan taqwa menjadi pelindung kepada diri dari melakukan sesuatu yang tidak wajar atau maksiat kepada Allah termasuk dalam urusan kerja atau profesyen dan ketika itu mungkin Institut Integriti Malaysia (IIM) sebagai institusi yang bertanggungjawab menilai dan memantau pelaksanaan pelan integriti nasional yang dirancang tidak lagi diperlukan. Begitu juga dengan SPRM, Jabatan Audit Negara, Biro Pengaduan Awam dan sebagainya.

Kedua: Prinsip Mas’uliyyah.

 

Prinsip mas’uliyyah atau ’accountability’ ialah prinsip yang menuntut seseorang pekerja supaya sentiasa berwaspada dan bertanggung jawab ke atas apa yang dilakukan atau dibelanjakan kerana mereka akan di periksa dan disoal bukan sekadar di dunia malah di hari pembalasan.

Asas pegangan orang Islam dalam hal ini termaktub di dalam banyak ayat al-Qur’an dan hadis Rasulullah saw.

Ibnu Umar ra dari Nabi saw, Baginda saw bersabda:

عَبْد اللَّهِ بْنَ عُمَرَ يَقُولُ: سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ: ((كُلُّكُمْ رَاعٍ، وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ؛ الإِمَامُ رَاعٍ وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالرَّجُلُ رَاعٍ فِي أَهْلِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ، وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ فِي بَيْتِ زَوْجِهَا، وَمَسْئُولَةٌ عَنْ رَعِيَّتِهَا، وَالْخَادِمُ رَاعٍ فِي مَالِ سَيِّدِهِ، وَمَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ)) [رواه البخاري

 

Maksudnya: “Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinan kamumu. Seorang  amir/penguasa/ atau pemimpin yang berkuasa terhadap rakyat akan ditanya tentang kepimpinannya. Sseorang laki-laki adalah pemimpin atas keluarganya .Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang wanita adalah pemimpin rumahtangga suami dan anak-anaknya. Dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang hamba adalah pemimpin atas harta kekayaan tuannya yang dipercayakan kepadanya. Dia juga akan ditanya tentang kepimpinannya. Ketahuilah setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan ditanya tentang kepimpinan kamu. ” [HR: Imam Bukhari].

Hadis di atas menjelaskan dua perkara;

Pertama: setiap orang memikul amanah dan tanggung jawab yang wajib ditunaikan (kecualilah orang yang tidak mukallaf).

Kedua; setiap amal samada kecil atau besar akan diminta pertanggungjawaban, akan ditanya dan periksa oleh Allah.

 

Jawatan, kerja, tugas atau apa-apa profesyen yang kita pegang bukan suatu kebanggaan yang boleh kita gunakan sebagai suatu alat untuk mencapai cita-cita dunia tetapi ia merupakan suatu amanah yang wajib ditunaikan dengan cara yang sempurna seperti mana yang ditetapkan oleh institusi dan yang diakui oleh syarak. Mudah-mudahan kerja yang kita lakukan itu bukan sahaja membawa manfaat duniawi tetapi juga manfaat ukhrawi sebagai suatu bentuk ubudiyyah kita kepada Allah .Sebelum Allah bertanyakan kita tentang setiap amal dan kerja yang kita buat selama ini, adalah lebih baik kiranya kita sebelum terlambat kita memuhasabah diri kita sendiri dan kalau kita tersilap tentu tidak terlambat untuk memperbetulkannya sama ada menggantikan balik, menampung, memulangkan, menqada’ dan apa sahaja cara yang patut.

 

Ketiga: Prinsip Itqan.

 

Prinsip itqan iaitu prinsip yang menuntut manusia supaya melaksanakan sesuatu amal atau kerja dengan cara yang bersungguh-sungguh, melakukannya dengan sebaik-baiknya, serius dan bukan main-main sehingga tercapai perkhidmatan dan pengurusan yang cemerlang. Sifat seperti ini menjadi tuntutan Islam sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw;

((عن عائشة عن النبي صلى الله عليه وسلم: ((إن الله يحب إذا عمل أحدكم عملا أن يتقنه

“Allah sangat menyukai mana-mana hambaNya yang bila melakukan sesuatu kerja dilakukannya dengan sungguh-sungguh”. [HR: Baihaqi, sanadnya "Hasan"]

Kerja yang sungguh-sungguh menggambarkan kesempurnaan iman dan taqwa, ketulusan hati, keluhuran budi dan kemuliaan akhlak yang semua sifat-sifat ini akan dikira oleh Allah dalam menentukan amal hambaNya diterima atau sebaliknya.

 

Kesimpulan

 

Menyebut tiga prinsip di dalam Islam berhubung dengan kerja iaitu; prinsip ubudiyyah, mas’uliyyah dan itqan ini memang mudah tetapi menghayatinya tidak semudah menyebutnya.

Cuba kita renung dan fikir terhadap kerja kita sebagai kakitangan kerajaan atau swasta, yang sudah beberapa tahun berkhidmat…Apakah kerja kita diterima Allah sebagai amal soleh?

Apakah kita amanah dengan kerja yang ditugaskan?

Apakah kita ikhlas dalam menjalankan tanggung jawab? Apakah rezeki yang diperolehi rezeki yang halal? Bagaimanakah kita hendak menampung lompang-lompang yang ada?

Apakah kita tidak takut doa orang-orang yang kena zalim sedangkan tiada hijab antara doa orang yang kena zalim dengan Allah dan banyak lagi soalan-soalan yang harus kita jawab, sebelum ditanya dihadapan Rabbul Jalil!.

Mungkin saudara-saudari sudahpun berfikir seperti apa yang diminta kita berfikir hari ini.

Apa pun kita sebagai orang yang beriman tetap bersangka baik terhadap rahmat dan kasih sayang Allah, mudah-mudahan amal dan kerja diterima-Nya sebagai ibadah walau pun berlobang-lobang lebih dari daun yang dimakan ulat.

WA ALLAHU A’LAM

Sumber Asal makalah; http://citutrg.blogspot.com/2009/06/prinsip-ubudiyyahmasuliyyah-dan-itqan.html

[Abu Anas Madani, Khamis 28 jun 2011, PSD]

Share